March 30, 2011

Muzium Kucing di Malaysia



Percaya atau tidak, di Sarawak terdapat muzium yang diberi nama Muzium Kucing (Cat Museum) dan Muzium Kuching (Kuching Museum). Sebutan sama tetapi tempatnya berlainan, begitu juga dengan maksud kucing dan Kuching itu. Terlebih dahulu, anda mesti sudah tahu bahawa Kuching itu adalah nama ibu negeri Sarawak, tapi kita bukan nak bercerita tentang ibu negeri Sarawak, tapi pasal muzium kucing!

Dengar khabarnya muzium ini sungguh popular, dan menjadi tumpuan para pelancong terutamanya dari Eropah dan Jepun. Lokasi muzium ini terletak di sebelah Petra Jaya (seberang sungai Sarawak) dan boleh disinggah ketika dalam perjalanan ke Pantai Damai atau Santubong. Dari jauh lagi anda boleh melihat mercu tanda yang kelihatan seperti sebuah kubah masjid di atas bukit. Malah akan ada mereka yang tersalah anggap bahawa ia adalah Masjid Negeri Sarawak yang kebetulan pula berada di daerah yang sama.




Sebelum sampai ke Muzium Kucing, kita akan menjangka akan menemukan pelbagai jenis spesies kucing hidup yang dipamerkan kepada pengunjung. Tentu mereka yang juga pencinta kucing tidak sabar untuk ke sini. Tetapi sabar dulu. Kucing kucing yang ada di muzium ini bukanlah kucing hidup atau kucing betul, tapi sekadar koleksi patung dan replika kucing sahaja.


Jadi jika anda seorang pencinta kucing hidup dan berharap akan dapat berjumpa dan bermain main dengan mereka di sini, mungkin tempat ini tidak sesuai untuk anda. Selain daripada replika dan patung, ada juga risalah, gambar, buku, karikatur, bingkisan sejarah serta jenis jenis kucing yang dipertontonkan di papan umum.


Walaubagaimanapun, lokasi bangunan Muzium Kucing ini yang terletak di atas bukit (yang diberi nama Bukit Siol) membolehkan pengunjung melihat bandar Kuching dari puncak bukit. Bukit Siol adalah satu antara dua tempat yang sesuai untuk melihat bandar Kuching selain dari menara di Wisma Budaya Kuching. Di atas bukit ini juga taman mini yang sesuai dijadikan tempat bersiar siar atau melepak sambil makan kuih batang buruk (kuih dijual berasingan).



Bayaran masuk ke dalam muzium adalah percuma, tetapi jika anda berhasrat untuk mengambil gambar, caj sebanyak RM3 dikenakan. Muzium ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Ilham untuk melahirkan sebuah muzium kucing lahir dari ketua menteri Sarawak oleh kerana sejarah bandaraya Kuching itu sendiri berkaitan dengan keunikan kehidupan kucing.



Muzium Kucing diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang mempunyai pejabat operasi di bangunan yang sama.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...